Monday, September 14, 2009

Kelayakan Piala Dunia Tebus segera maruah hoki


TIADA siapa menjangkakan penguasaan kita dalam sukan hoki semakin hari semakin longgar. Jika dahulu kita berstatus sebagai antara pasukan yang berada pada ranking terbaik dunia, kini kedudukan kita di peringkat dunia terus merudum.

Namun, usaha untuk menebus kembali maruah sukan hoki sentiasa ada. Yang terbaru peluang terhidang pada saingan kelayakan Piala Dunia di India tahun depan.

Berdasarkan undian kumpulan kelayakan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Malaysia diundi satu kumpulan dengan Austria, China, tuan rumah, New Zealand, Scotland dan Wales pada saingan mulai 7 hingga 15 November ini.

Diminta mengulas undian tersebut, bekas ketua pasukan kebangsaan, Mirnawan Nawawi menyiaftkan Malaysia mendapat undian lebih mudah berbanding dua lagi kumpulan kelayakan yang berlangsung di Perancis dan Argentina.

Menurutnya, hanya New Zealand yang dilihat menjadi halangan besar skuad Malaysia untuk muncul juara seterusnya layak ke pusingan akhir di India.

Hanya juara kumpulan kelayakan sahaja yang layak beraksi pada kejohanan Piala Dunia di New Delhi, India pada 28 Februari hingga 13 Mac tahun depan.

“Pada pendapat saya, lawan kita dalam kumpulan kelayakan kali ini agak seimbang.

“Cuma halangan kita nanti adalah dari pasukan tuan rumah, New Zealand. Dengan China pula kita perlu lebih berwaspada.

“Berdepan lain-lain pencabar, kita sepatutnya tiada masalah untuk membenam cabaran pasukan seperti Austria, Scotland dan Wales.

“Cuma satu perkara yang harus diberi perhatian ialah rekod lima perlawanan ujian skuad kebangsaan dengan New Zealand, memihak kepada pasukan lawan. Kita kalah tiga kali dan seri dua kali.

“Lantaran itu, diharapkan para pemain dapat belajar daripada kelima-lima perlawanan ujian tersebut supaya prestasi yang sama tidak berulang pada perlawanan kelayakan nanti,’’ katanya.

Memang tidak dinafikan, saingan dalam kumpulan lain lebih sukar.

Contohnya, saingan kelayakan Piala Dunia di Lille, Perancis pada Oktober ini melibatkan pasukan di ranking atas dunia seperti Pakistan, Jepun, Perancis, Poland, Rusia dan Itali.

Satu lagi kumpulan kelayakan di Quilmes, Argentina pada November depan melibatkan saingan pasukan Belgium, Argentina, Ireland, Amerika Syarikat, Republik Czech dan Chile.

Setakat ini, sembilan pasukan telah mengesahkan layak ke Piala Dunia tahun depan iaitu Kanada, Korea Selatan, Afrika Selatan, Australia, England, Jerman, Belanda, dan Sepanyol.

Jika Inilah masa dan peluang untuk jurulatih negara, Tai Beng Hai menafikan segala kritikan terhadap rekodnya yang disifatkan terumbang ambing sepanjang hampir setahun membimbing skuad kebangsaan.

Beng Hai yang dilantik menjadi jurulatih pada 27 Disember tahun lalu dilihat bakal menjanjikan sedikit sinar kepada skuad kebangsaan apabila membawa Malaysia muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah April lalu.

Sebulan selepas itu, beliau hanya mampu meletakkan skuad negara di tempat keempat dalam kejohanan Piala Asia di Kuantan.

Akibatnya, Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah baru-baru ini melontarkan cabaran supaya skuad kebangsaan cemerlang pada saingan kelayakan Piala Dunia jika Beng Hai mahu terus mengemudi skuad negara.

Tengku Abdullah kecewa dengan pencapaian yang dipamerkan skuad hoki selama ini menjelaskan, kejohanan kelayakan itu menjadi medan terakhir kepada Beng Hai untuk membuktikan kemampuannya.


petikan daripada Utusan Malaysia online

12/9/2009

No comments:

Post a Comment